Friday, December 28, 2007

Uthman sahabat Rasulullah paling dermawan

KETIKA kaum muslimin hijrah dari Makkah ke Madinah, mereka menghadapi masalah bekalan air. Di sana memang ada sebuah perigi, tapi perigi itu milik seorang Yahudi dan airnya sengaja diperdagangkan. Hijrahnya kaum muslimin ke Madinah amat menggembirakan kerana memberinya kesempatan untuk memperoleh wang yang banyak daripada hasil penjualan air perigi.

Rasulullah SAW amat berharap jika salah seorang sahabat mampu membeli perigi itu untuk meringankan beban kaum Muhajirin yang menderita kerana harta mereka ditinggalkan di Makkah. Mengetahui kejadian itu, Uthman ra pergi ke rumah orang Yahudi itu untuk membeli perigi itu. Selepas tawar-menawar, harga perigi itu 12,000 dirham dan dengan perjanjian satu hari hak orang Yahudi itu, dan keesokan harinya untuk Uthman.

Pada giliran hak Uthman, kaum Muslimin bergegas mengambil air yang cakup untuk keperluan dua hari. Dengan demikian si Yahudi berasa rugi, kerana tidak ada lagi yang membeli air pada gilirannya,

Orang Yahudi itu mengeluh kepada Uthman, dan akhirnya dia menjual perigi itu kepada Uthman dengan harga 8,000 dirham.

Perigi Raumah mengalirkan air yang melimpah bagi kaum Muslimin dengan percuma.

Itulah kedermawanan Uthman ra. Alangkah jauhnya akhlak kaum muslimin dewasa ini dengan akhlak yang dimiliki sahabat Rasulullah SAW dahulu.

Alangkah besarnya beban ditanggung orang Islam sekarang, tapi siapakah yang berkeinginan dan dapat meringankan beban itu?



Pemberian Allah 10 kali ganda

Pada masa Khalifah Abu Bakar As-Siddiq ra, kaum Muslimin dilanda kemarau dahsyat. Mereka mendatangi Khalifah Abu Bakar dan berkata, "Wahai khalifah Rasulullah, langit tidak menurunkan hujan dan bumi kering tidak menumbuhkan tanaman, dan orang meramalkan datangnya bencana, maka apa harus kita lakukan?

Abu Bakar ra menjawab: "Pergilah dan sabarlah. Aku berharap sebelum tiba malam hari Allah akan meringankan kesulitan kalian."

Pada petang harinya di Syam ada sebuah kafilah dengan 1,000 unta mengangkut gandum, minyak dan kismis. Unta itu lalu di depan rumah Uthman, lalu mereka menurunkan muatannya. Tidak lama kemudian pedagang datang menemui Uthman, si pedagang kaya, dengan maksud ingin membeli barang itu.

Lalu Uthman berkata kepada mereka: "Dengan segala senang hati. Berapa banyak keuntungan yang akan kalian berikan?

Mereka jawab: "Dua kali lipat."

Uthman menjawab: "Wah sayang, Sudah ada penawaran lebih."

Pedagang itu kemudian menawarkan empat sampai lima kali lipat, tetapi Uthman menolak dengan alasan sudah ada penawar yang akan memberi lebih banyak.

Pedagang menjadi bingung lalu berkata lagi pada Uthman: "Wahai, Uthman, di Madinah tidak ada pedagang selain kami, dan tidak ada yang mendahului kami dalam penawaran. Siapa yang berani memberi lebih?" Uthman menjawab: Allah SWT memberi kepadaku 10 kali lipat, apakah kalian dapat memberi lebih dari itu?"

Mereka serentak menjawab: "Tidak!"

Uthman berkata lagi: "Aku menjadikan Allah sebagai saksi bahawa seluruh yang dibawa kafilah itu adalah sedekah kerana Allah, untuk fakir miskin daripada kaum muslimin."

Petang hari itu juga Uthman ra membahagi-bahagikan seluruh makanan yang dibawa unta tadi kepada setiap fakir dan miskin. Mereka semua mendapat bahagian yang cukup untuk keperluan keluarganya masing-masing dalam jangka waktu yang lama.



Orang yang disegani malaikat

Siti Aisyah ra meriwayatkan bahawa pada suatu hari Abu Bakar minta izin bertemu Rasulullah sedang berbaring dan bajunya terangkat sehingga salah satu betisnya nampak.

Selesai berbincang, Abu Bakar pun segera pulang. Kemudian datang Umar dan selepas berbincang beberapa waktu lamanya.

Umar pun pulang. Kebetulan Uthman datang dan minta izin bertemu dengannya.

Mendengar Uthman yang datang, Rasulullah tiba-tiba duduk dan merapikan pakaiannya, lalu menutupi betisnya yang terbuka.

Selepas Uthman pulang, Aisyah bertanya: "Ya, Rasulullah engkau tidak bersiap bagi kedatangan Abu Bakar dan Umar seperti kepada Uthman."

Rasulullah SAW menjawab: "Uthman seorang pemalu. Kalau dia masuk sedang aku masih berbaring, dia pasti malu untuk masuk dan akan cepat-cepat pulang sebelum menyelesaikan hajatnya. Hai Aisyah, tidakkah aku patut malu kepada seorang yang disegani malaikat?" (Hadis Riwayat Ahmad)

Rasulullah SAW mengangkat malu ke permukaan sebagai teladan dan pelita dalam mendidik umat. Bukankah Rasulullah SAW bersifat pemalu bahkan lebih pemalu daripada seorang gadis pingitan?

Bukankah beliau juga bersada: "Malu tiada menimbulkan kecuali kebaikan?"

Penyair juga menyanyikan sajak malu sebagai berikut bermaksud: Seorang tetap dalam kebaikan selama bersifat pemalu) Kayu gaharu tetap berharga selama ada kulitnya). Demi anda dan ayah anda, tidak ada kebaikan dalam kehidupan. Dan tidak pula di dunia bila hilang malunya.



Mus'haf Uthmani

Amal perbuatan mulia, kekal sampai hari kiamat ialah apa yang dilakukan Uthman ra. Ayat dikumpulkan dan tertulis dalam lembaran dipada masa khalifah Abu Bakar dan tersimpan di rumah Hafshah sesudah wafatnya Umar ra diambil oleh Uthman ra. Uthman membentuk sebuah jawatan kuasa diketuai Zaid bin Tsabit serta dianggotai Abdullah bin Zubir, Said bin Aash dan Abdurrahman bin Haarits bin Hisyam.

Tugas jawatan kuasa ini ialah membukukan al-Quran, iaitu dengan cara menyalin dari lembaran sampai menjadi buku. Dalam melaksanakan tugas ini, Uthman ra memberi nasihat supaya mengambil pedoman kepada bacaan orang yang hafal al-Quran. Jika ada perselisihan di antara mereka dalam bacaannya maka ayat itu harus ditulis menurut lahjah (dialek) suku Quraisy kerana al-Quran diturunkan menurut dialek mereka.

Selepas tugas itu selesai, Uthman mengembalikan lembaran al-Quran itu kepada Hafshah. Kemudian lembaran itu dimusnahkan dengan dipendam di tanah antara kuburan Rasulullah SAW dengan mimbar.

Al-Quran yang dibukukan diberi nama "Al-Mushaf". Yang sebuah ada pada khalifah Uthman (di Madinah) dan empat buah lagi dikirim ke Makkah, Syria, Basrah dan Kufah agar di tempat itu segera disalin. Adapun Mushaf pada tangan Umar dinamakan 'Mushaf Al-Imam". Dari Mushaf yang ditulis di zaman Uthman itulah kaum muslimin di seluruh pelosok menyalin dan memperbanuak al-Quran.

Allah SWT hendak menyelamatkan Al-Quran dari segala upaya perubahan. Dia memelihara kemurnian dan kelangsungannya sampai hari kiamat.

Allah SWT berfirman: "Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan sesungguhnya Kami (pulalah) yang memeliharanya." (AT-Hij 9). Uthman ra akan tetap selalu dikenang sebagai orang yang paling berjasa dalam bidang ini.